Sunday, January 18, 2009

Di Mana Hendak Diperolehi Teman Yang Sejati

Antara kemanisan hidup ini apabila seseorang memiliki sahabat yang setia tanpa sebarang kepentingan.
Namun hal yang seperti ini amat sukar untuk diperolehi di dunia ini, sekalipun ramai yang selalu mendakwa dia adalah sahabat setia kita. Kita tidak tahu sejauh manakah dakwaan itu sebelum adanya ujian yang sebenar. Ramai yang pernah mendakwa sedemikian tetapi terbukti berbohong apabila ujian datang melanda.
Bahkan banyak persahabatan dalam dunia ini pun terjadi di atas kepentingan tertentu. Maka tidak hairan jika ia akan berakhir disebabkan kepentingan tertentu jua. Bahkan ada persahabatan yang diasaskan di atas kejujuran namun berakhir disebabkan kepentingan.

Memiliki persahabatan yang jujur dalam ertikata yang sebenar adalah nikmat kehidupan. Namun ia sebenarnya sukar untuk diperolehi secara meluas di alam maya ini melainkan dalam sejarah kehidupan golongan yang beriman dalam makna yang sebenar. Bahkan baginda Nabi s.a.w. menjamin bahawa sesiapa yang mempunyai sahabat tanpa kepentingan melainkan kerana Allah semata, maka dia akan mengecapi kemanisan iman.
Sabda baginda: “Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasulNya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Manisnya tebu tidak dapat digambarkan oleh perkataan buat sesiapa yang tidak pernah merasanya. Manisnya iman, hanya pemiliknya sahaja yang dapat mengecapi kenikmatan dan kekusyukannya. Dalam tiga ciri tersebut, baginda s.a.w nyatakan bahawa dengan mencintai seseorang hanya kerana Allah, akan terasalah manisnya iman. Indahnya kemanisan iman hanya pemiliknya yang faham.
Bagaimana mungkin kita dapat membina rasa cinta kepada seseorang kerana Allah semata? Pastilah dek kita tahu hubungan dan kasih sayang kita kepadanya mendapat keredhaan Allah. Mungkin kerana dia orang yang dekat kepada Allah, atau dia boleh menjadi faktor kita dapat mendekatkan diri kepada Allah. Apabila perasaan yang seperti itu terbina, kita akan dapat merasa nikmatnya perasaan cintakan seseorang kerana Allah. Hanya hubungan yang seperti itulah yang membuahkan kesetiaan dan kejujuran yang tidak mampu dibeli oleh pangkat, kedudukan dan harta.
Hubungan persahabatan seperti itu tidak ada di alam gelora manusia yang yang berkawan dengan seseorang kerana kepentingan atau kedudukan atau harta. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya) “Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, tidaklah engkau dapat menyatu-padukan di antara jantung hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan antara mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana” (Surah al-Anfal: 63).
Ia hanya wujud dalam alam persahabatan yang dibina atas nama Iman dan Islam. Maka kita akan lihat kesetiaan antara para pejuang Islam yang ikhlas sepanjang sejarah penuh dengan keajaiban. Mereka hapuskan dalam dairi hidup mereka perkataan khianat, kebencian dan permusuhan dari belakang, lalu digantikan dengan “aku kasihkan engkau kerana Allah”.
Kasih itu berkekalan semasa sahabatnya di puncak atau berada di bawah. Samada sahabatnya masih hidup, atau setelah meninggalkan dunia ini. Ini kerana tempat rujuk kasih mereka Maha Tinggi Lagi Tiada Kesudahan bagiNya, iaitu Allah s.w.t. Lihatlah sahabah Nabi s.a.w. Zaid bin al-Dathinah apabila dia ditangkap oleh pemimpin Quraish yang menentang Nabi s.a.w. lalu dibawa untuk dibunuh dan Abu Sufyan –ketika itu belum menganut Islam- bertanya kepadanya: “Wahai Zaid, aku bertanya engkau dengan nama Allah, tidakkah engkau suka Muhammad berada di tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau berada di samping keluargamu”.
Jawab Zaid: “Aku tidak suka Muhammad berada di mana dia berada sekarang, terkena duri sedangkan aku berada di samping keluargaku”. Kata Abu Sufyan: “Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/75 Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah). Ya! Kasih yang mengharapkan hanya ganjaran Allah. Inilah kasih para pejuang yang sebenar antara mereka.
Persahabatan kerana Allah, memberi tanpa minta diganti, menyokong tanpa minta disanjung, memuji tidak kerana budi, berkorban tanpa menuntut ganjaran. Namun semuanya hanya mengharapkan kurniaan Allah jua yang menjadi punca kecintaan dan kasih sayang itu mekar antara satu sama lain. Sudah pastilah persahabatan itu dibina atas kebenaran yang sentiasa tunduk dan patuh kepada titah Allah dan RasulNya. Alangkah indahnya suasana ini.
Justeru itu Allah memuji golongan Muhajirin dan Ansar lalu dirakam kasih sayang antara mereka dalam al-Quran: (maksudnya) ”Bagi golongan fakir yang berhijrah, yang mereka diusir dari kampung halaman dan harta benda mereka (kerana) mencari kurnia daripada Allah dan keredhaanNya. Mereka menolong (agama) Allah dan RasulNya. Mereka itulah orang-orang yang benar. Orang-orang yang telah mendiami kota (Madinah) dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka itu (Muhajirin), mereka mencintai orang berhijrah kepada mereka. Mereka tiada menaruh sebarang keinginan (balasan) dalam dada mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada Muhajirin. Mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka juga memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung. Adapun orang-orang yang datang selepas mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang” (Surah al-Hasyar 8-10).
Hanya insan-insan yang seperti ini sahaja yang akan merasa manisnya perjuangan yang mereka bawa. Ini kerana mereka jelas matlamat yang hendak dituju dan jalan yang hendaklah dilalui. Bebas dari kepentingan diri, yang tinggal hanya kepentingan cita-cita yang suci. Maka tidak ada cerita jatuh-menjatuh antara mereka kerana jawatan dan pangkat.
Sebaliknya, sering ingin memberi kerana matlamat mereka adalah keredhaan Allah. Ia tidak dicapai dengan tumpas menumpas sesama pejuang yang betul niat dan tujuannya. Sebaliknya keredhaan itu dicapai dengan sering tolong menolong kerana Allah. Jika itu tidak ada, perjuangan itu untuk dunia semata dan pasti dalamnya penuh kepahitan walaupun pada zahir ada harta dan kemewahan.
Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?”.
Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan ruh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita”.
Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya) “Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita” (Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Inilah golongan yang dilindungi Allah pada hari kiamat. Di dunia mereka mendapat kenikmatan persahabatan yang jujur dan ikhlas, di akhirat mereka dilindungi Allah.
Nilai persahabatan bukan pada wang atau peluang yang diberi. Atau kedudukan dan kerusi yang disogokkan. Semua itu tiada erti, jika ‘ada udang di sebalik mee’. Sesungguhnya senyuman ikhlas seorang sahabat sejati, lebih bererti dari dunia dan segala isinya, sehingga Nabi s.a.w menyebut: “Senyumanmu buat wajah saudaramu itu adalah sedekah” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Kita selalu dengar cerita pengkhianatan sesama sahabat dalam perniagaan, pekerjaan dan politik. Mendengarnya sahaja amat memeritkan, apatah lagi jiwa yang mengalaminya. Amat rapuhnya persahabatan jika dibina di atas kepentingan diri masing-masing. Ditikam oleh musuh, tidak seperit pedihnya seperti ditikam oleh sahabat yang rapat. Dirompak oleh perompak tidak sekecewa ditipu oleh rakan yang dipercaya. Dijatuh oleh lawan tidak sedahsyat direbahkan oleh teman seperjuangan.
Namun itu realiti dalam maya pada ini bagi hubungan sesama insan yang tidak dibina atas nama tuhan. Jika ada pihak yang jujur dalam persahabatan, tetapi pengkhianatan berlaku bererti samada dia silap memilih teman, atau prinsip perjuangan. Maka dalam memilih sahabat, lihatlah hubungannya dengan tuhan dan atas apa kita membina persahabatan dengannya.
Saya rasa dalam dunia perniagaan dan politik, persahabatan sejati amat sukar untuk dicari. Bukan perniagaan, atau politik itu kotor; kedua-duanya termasuk dalam ajaran Islam. Namun kedua bidang itu apabila tidak berpandukan ajaran Allah dan RasulNya maka akan menjadi sangat rakus, biadap, penuh dengan kepura-puraan, tidak berprinsip, tidak menghargai rakan dan taulan, bicara dan bahasanya penuh dengan kemunafikan.
Kepentingan diri masing-masing kadang kala bagai tuhan yang disembah. Sanggup lakukan apa sahaja demi kepentingan diri, apa yang dia tidak akan lakukan jika perintah oleh tuhan yang sebenar pun. Banyak perintah agama dia kata tidak mampu, namun jika ada kepentingan politik atau urus niaga lebih daripada itu dia sanggup lakukan.
Firman Allah dalam Surah al-Jathiah, ayat 23: (maksudnya): “Bagaimana fikiranmu (Wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana pengetahuanNya (tentang kekufuran mereka), dan ditutup pula atas pendengarannya dan jantungnya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikannya berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu tidak mengingati?.
Betapa ramai orang politik yang dikelilingi oleh para pengikutnya, lalu kesemua mereka hilang apabila kuasa tiada lagi di tangan. Pada hari dia berkuasa; semuanya menjerit dan memuja, seakan sanggup hidup dan mati bersama. Namun apabila dia tidak mampu lagi memberi harta, pangkat dan kedudukan, melintas pun belum tentu mereka bersalaman.
Telah banyak bukti hidup dan mati yang tidak dapat dihitung lagi. Bahkan ada yang sehingga mati pun tidak dikunjungi. Namun jika anda berharta, sehingga ke pusara ada yang masih tunjuk muka. Bukan kerana kenang jasa, tapi kenang apa yang boleh dipusaka.
Tanpa iman, tiada kasih sayang hakiki dalam persahabatan. Sepatutnya orang kaya, atau orang politik jangan terlalu bangga apabila anda dipuji. Belum tentu ianya ikhlas dari hati sanubari. Mungkin diri anda atau perkara yang sama jika anda lakukan pada hari anda tiada kuasa atau harta, orang sama akan mencebik dan menghina anda.
Tetapi dek penangan kuasa dan harta; rupa anda yang ‘biasa-biasa’ dikatakan lawa, pidato anda yang tidak sedap dikatakan hebat, pendapat anda yang kolot dikatakan maju, idea yang lapuk dikatakan bernas, pandangan yang lemah dikatakan berhikmah, penampilan yang tidak bermaya dikatakan bercahaya. Semuanya kerana ingin mengampu kuasa dan harta.
Jika anda hidup dalam iklim yang sedemikian, percayalah persahabatan dan pengikut yang mendakwa setia semuanya bohong belaka. Anda hidup dalam alam khayalan seperti berkhayalnya seorang mabuk yang melihat wanita tua bagaikan gadis yang cantik menawan.
Carilah iman dan persahabatan atas dasar iman. Carilah prinsip perjuangan yang Allah redha, kita akan bertemu di sana sahabat-sahabat yang setia kerana Allah. Jika anda pernah merasai kemanisan iman dan persahabatan atas nama iman, anda akan tahu bahawa persahabatan palsu itu rasanya amat pahit dan meloyakan.
Lebih mendukacitakan Allah berfirman: (maksudnya) “Sahabat handai pada hari tersebut (kiamat) bermusuhan antara satu sama lain, kecuali golongan yang bertakwa” (Surah al-Zukhruf: 67).
Ya, seperti mana di dunia mereka melepaskan diri apabila hilang kepentingan yang dicari, di akhirat mereka bermusuhan apabila melihat azab Tuhan yang terhasil dari dosa persahabatan dan pakatan yang pernah mereka lakukan di dunia.
Oh! Di mana hendak dicari teman yang sejati? Ya! Carilah perjuangan yang berprinsip dan diredhai Allah, di dataran itulah kalian akan temui teman yang sejati.

Sumber Bahan: (Koleksi Pegawai KGSK)

No comments: